Matahari terik jelas terasa. Sedang orang ramai bergegas mengejar dunia
yang tidak pernah henti malah jarang sekali untuk menoleh, kelihatan seorang lelaki
berusia lebih dari separuh abad yang memakai pakaian lusuh serta topi berwarna
hijau tua sedang mengayuh beca tuanya secara perlahan-lahan. Matanya meliar-liar
sekeliling, tercari-cari sekiranya ada insan yang sudi untuk menjadi
pelanggannya, menaiki beca tuanya yang sekian hari dimamah karat.
Sesekali dia mengelap air peluh dari dahinya yang mengalir jatuh ke pipi
dengan sapu tangan yang di sidai di atas bahunya. Hampir separuh harinya
berpusing-pusing sekitar bandaraya, menagih pelanggan yang tidak kunjung tiba.
Apabila kepenatan menyinggah, lelaki tua itu berehat sebentar di bawah
pepohonan teduh bagi mengembalikan semula kudrat tuanya.
Apabila petang menjelma, si tua tersebut kembali semula kerumahnya. Si
isteri tetap setia menunggu di balik pintu. Menyediakan air kopi panas untuk
diminum berserta biskut kering menjadi juadah petang. Si tua tadi pulang ke
rumah dengan dukacita kerana tidak ada satu insan pun yang sudi untuk menjadi
tetamu becanya. Namun begitu, apabila di sambut oleh si isteri dengan senyuman
manis yang masih memikat hati sang tua, juga dengan layanan lembut si isteri
membuatkan si tua tidak merasa kepenatan serta kembali ceria.
Masih ada insan yang setia dengannya walaupun dirinya penuh kekurangan.
Hanya kesyukuran sahaja yang menjadi resepi utama untuk pasangan itu bahagia.
Syukur dengan apa adanya. Bersederhana dalam segala-galanya. Itulah kunci utama
kehidupan mereka yang di dalam serba kekurangan itu.
Si isteri tidak pernah merasa susah walaupuan makanan mereka hanya nasi
berulamkan garam dan gula. Hanya sahaja manisan mereka air kopi panas beserta
biskut kering. Baju usah dikata. Berganti hanya setahun sekali. Dirasakannya
telah sempurna mahligai mereka. Dengan cinta dan kasih sayang dari seorang
suami. Yang tidak pernah mengeluh dengan apa yang diberi. Duit itu bukan
segala-galanya. Rezeki juga ada di mana-mana sahaja. Tidak akan pernah
terkurang sekiranya sudah tercatat ianya adalah untuk mereka.
Dunia terus berputar dan berputar. Malah semakin hari semakin laju. Manusia
sekeliling seringkali berkejaran sesama mereka. Merebut peluang yang ada
disekeliling untuk menjadi lebih maju, lebih berjaya. Namun, di satu sudut
kehidupan, ada insan yang hidupnya berlalu dengan perlahan-lahan. Tidak
menghiraukan pembangunan yang sedang pesat. Tidak juga ambil bahagian dalam
perlumbaan yang melelahkan. Perlumbaan manusia mengejar teknologi. Mendabik
dada bagi sesiapa yang searus dengan kemajuan.
Di sudut kehidupan itu juga si tua dan isterinya tinggal bersama. Ibarat
sang kopi dan biskut kering. Tidak boleh dipisahkan. Sekiranya biskut hilang,
maka kopinya hilang rasa manisnya. Boleh dikatakan bahawa sang kopi dan biskut
kering adalah pasangan yang bahagia. Tiada salah satu, bagaikan irama tanpa
musik. Bagaikan akal tanpa hati, bagaikan badan tanpa kepala. Tidak tersanggupi
untuk hilang salah satu darinya. Meskipun kekadang sang kopi menjadi pahit,
namun masih terasa nikmat jika dihidangkan bersama biskut kering.
Bagaikan lembaran sejarah, sang kopi dan biskut kering menyimpan sejuta
rasa bersama. Pahit. Kelat. Manis. Tawar. Semuanya dirasai bersama. Aku turut
takjub dengan pasangan itu. Bagaikan tidak ada deritanya. Semuanya rasa
bercampur menjadi sejarah terindah buat mereka. Apa jua badai yang mendatang,
mereka hadapidengan tenang. Ya.. Itulah kisah-kisah cinta yang diimpikan oleh
setiap insan. Setia sehingga ke akhir hayatnya bersama. Itu juga impian aku
sebagai makhluk bergelar manusia.
Comments
Post a Comment