Judul: Menyelami Pengurusan Umar
Abdul Aziz
Karya: Prof. Madya Rasid Muhamad
Siapa
yang tidak kenal dengan seorang tokoh besar dalam Islam yang membawa satu
perubahan yang ketara dalam pemerintahan Islam sehingga mengangkat ketamadunan
Islam ke puncak kegemilangannya. Dialah Khalifah Umar Abdul Aziz, khalifah Bani
Umayyah. Digelar sebagai Khulafa' Rasyidin yang kelima. Yang telah menghiaskan
pemerintahan dengan syiar-syiar Islam dalam tempoh yang sangat singkat iaitu
dua tahun lima bulan.
Pemerintahannya
yang telah mengubah sistem pemerintahan menjadi sangat adil sehingga dikatakan
rakyatnya yang berada di lubuk pedalaman yang paling dalam sekalipun merasai
keadilan pemerintahannya. Perubahan secara menyeluruh ini berjaya membuatkan
beliau mencapai matlamat kekhalifahan yang sebenar iaitu membawa rahmat ke
seluruh alam dengan Islam (rahmatan lil
'alamin)
Menyelami
susur galur pemerintahannya dengan lebih mendalam membawa saya meneliti
prinsip-prinsip pengurusan pemerintahan yang sebenar yang telah dipraktikkan
oleh Khalifah Umar Abdul Aziz sendiri dalam merealisasikan visi utama beliau
sebagai khalifah Islam.
Biodata Khalifah Umar Abdul Aziz
Sebelum
meneruskan dengan lebih lanjut tentang prinsip-prinsip pengurusan dalam
pemerintahan yang dilaksanakan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz, perlulah kita
selusuri dahulu latar belakang dan peribadinya.
Insan
mulia yang diberi nama sebagai Umar oleh bapanya, Abdul Aziz Bin Marwan Bin
Hakam Bin Abil Ash yang juga merupakan gabenor Mesir ini telah dilahirkan di
kota Madinah pada 63 Hijrah bersamaan 683 Masihi. Darah yang mengalir di dalam
tubuhnya juga terdapat darah seorang
tokoh Islam yang gagah dan berani iaitu Khalifah Umar Al-Khattab dari keturunan
ibunya, Laila Binti Ashim Bin Umar Bin Khattab.
Sifat
peribadinya terbentuk dari didikan pertama iaitu dari rumah. Sifat ayahnya
sebagai gabenor Mesir tidak pernah untuk menggunakan jawatan yang dimiliki
untuk kepentingan diri sendiri malah mereka hidup dalam keadaan sederhana,
tidak seperti kebanyakan ahli keluarga Bani Umayyah. Ibunya juga dipilih oleh
ayahnya dari keturunan yang sangat mulia Bani Hilal. Laila Binti Ashim uga
dikenali sebagai wanita yang zuhud dan rajin beribadat. Sesuai sekali buat
ayahnya yang mementingkan agama dalam memilih pasangan.
Diawal Perlantikan Khalifah
Umar
Abdul Aziz mempunyai sifat peribadi yang sangat menarik dan mempunyai peribadi
yang istimewa membuatkan Khalifah Abdul Malik Bin Marwan tertarik lalu
mengahwinkan puterinya, Fatimah Binti Abdul Malik dengan Umar Abdul Aziz.
Hasrat itu diterima baik oleh Umar Abdul Aziz yang sememangnya menaruh hati
terhadap sepupunya itu.
Perlantikan
Umar Abdul Aziz sebagai khalifah menggantikan Khalifah Sulaiman Bin Abdul Malik
iaitu saudara lelaki Fatimah Binti Abdul Malik. Setelah beliau menjadi
khalifah, Umar Abdul Aziz lebih memilih untuk hidup sederhana dan menyerahkan
hartanya kepada baitul buat menyebarkan syiar Islam.
Prinsip Pengurusan Pemerintahan Islam
Pelbagai
cara atau metod yang dilakukan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz dalam mentadbir
pemerintahan kekhalifahan. Namun, strateginya dalam menguruskan pemerintahan
digariskan dengan tujuh prinsip pengurusan dalam Islam secara umumnya iaitu Al-Ubudiyyah, Al-Syura, al- Adalah (Keadilan),
al-Hurriyah (Kebebasan), al-Musawah (Persamaan) al-Itqan (bersungguh-sungguh) dan Al-Taah (Ketaatan)
Al-Ubudiyyah
Al-Ubudiyyah
merujuk kepada hakikat bahawa manusia merupakan makhluk Allah yang sewajarnya
mengabdikan diri kepadaNya.Ianya pengakuan bahawa hanya Allah yang layak
disembah dan dipatuhi serta memberi pengiktirafan terhadap kewujudan dan
kekuasaan Allah. Prinsip al-ubudiyyah ini berkait secara langsung melalui
keterikatan seseorang itu dengan perintah dan hukum yang ditentukan oleh Allah.
Khalifah
Umar Abdul Aziz mengamalkan prinsip ini dengan melakukan perubahan pada dirinya
terlebih dahulu iaitu menyerahkan segala hidupnya, hartanya, tenaganya dan
masanya untuk Islam semata-mata. Lalu ia mengubah orang yang terdekat dengannya
iaitu isteri anak dan kaum kerabatnya barulah ia bertindak mengubah pentadbiran
serta keseluruhan umat kerana matlamatnya jelas iaitu mengamalkan Islam yang
membawa rahmat ke seluruh alam.
Diantara
bukti penerapan prinsip al-Ubudiyyah dalam pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz
ialah katanya kepada kaum Muslimin yang berbunyi:
Wahai kaum Muslimin!
Hendaklah kamu
bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya takwa adalah pengganti segala sesuatu dan tiada
pengganti pada sifat takwa.
Wahai manusia!
Sebelumku telah ada
penguasa yang merosakkan kasih sayang kamu dan kamu harus membayarnya dengan
kezaliman kepada kamu.
Wahai manusia!
Sesungguhnya aku bukan
penjaga gudang, tetapi aku meletakkan sebagaimana aku diperintahkan. Ingatlah,
tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam maksiat kepada Khalik. Aku cukupkan
perkataanku ini
Dalam
suratnya yang dihantar kepada kaum Muslimin pula berbunyi:
...Allah telah
menetapkan hukum dalam KitabNya tentang hal-hal yang diredhaiNya. Apa yang
dihalalkan dalam kitab itu adalah halal sampai kiamat. Dan apa yang diharamkan
dalam KitabNya itu adalah haram sampai kiamat. Allah juga mengajar RasulNya
sunnah-sunnahNya sehingga RasulNya itu memahami dan mengamalkannya di hadapan
ummatnya. Oleh itu, dia mengerjakan solat tepat pada waktunya sebagaimana yang
diperintahkan oleh Allah.
|
Al-Syura
Prinsip
kedua yang diamalkan pengurusan pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz adalah
Al-syura yang merujuk kepada amalan membuat keputusan berdasarkan pandangan
ramai dan secara kolektif. Sebarang keputusan yang melibatkan perkara besar
dalam pemerintahan dan rancangan yang dilakukan untuk rakyat akan dibincang
terlebih dahulu. Ahli yang terlibat dalam syura ini bukanlah calang-calang
orang yang dipilih kerana ianya termasuk dari golongan-golongan ulama besar
pada zamannya.
Segala
perancangan dan permasalahan yang dihadapi rakyat akan dibincangkan dalam
kalangan penguasa yang memegang amanah dengan telus dan ikhlas semata-mata
kerana Allah. Syura ini menunjukkan bahawa betapa Khalifah Umar Abdul Aziz amat
menghormati para ilmuan dan mereka yang berkemahiran serta berkeperibadian
tinggi. Pemikiran Khalifah yang terbuka ini mengurangkan permasalahan yang
berlaku di antara beberapa golongan dan tidak berlaku sebarang pergolakan
sewaktu pemerintahannya.
Al-Adalah
Al-adalah
bermaksud keadilan. Prinsip ini merupakan tunggak utama amalan dan akhlak
Islam. Salah satu kecantikan Islam yang amat ketara ialah keadilan. Ramai
manusia yang tertarik dengan Islam disebabkan dua perkara iaitu kelembutan dan
keindahan amalannya serta keadilan yang dilaksanakan olehnya. Tiada tempah
khusus buat sesiapa pun termasuk khalifah sendiri.
Dalam
mengetahui tentang keadilan dengan lebih tepat dari perspektif seorang khalifah
atau pemerintah, Khalifah Umar telah meminta pandangan ulama besar ketika itu
iaitu Hasan Al-Bashri berkaitannya.
Hasan
Al-Bashri memberi penerangan dengan menggunakan perumpamaan. Katanya:
Penguasa yang adil itu
persis seorang ayah yang begitu menyayangi anaknya. Dia berusaha untuk
membahagiakannya sejak kecil lagi, selalu membimbingnya ketika menjelang
dewasa, sentiasa memberi apa sahaja semasa dia hidup dan meninggalkan sesuatu
yang berharga setelah dia pergi menemui Tuhannya.
Wahai Amirul Mukminin!
Seorang pemerintah
yang adil itu laksana ibu yang begitu baik dan sayang kepada anaknya.
Mengandungkan anaknya selama sembilan bulan, satu jangka masa yang menjemukan.
Melahirkan dalam suasana yang menggetirkan. Melakukan segala sesuatu yang akan
membahagiakan anaknya. ibu tidak akan tidur tanpa ketenangan dimiliki oleh
anaknya. Menyusui anaknya dengan satias. Ibu amat gembira sekiranya anaknya
sihat serta tenang dan akan gelisah jika kesihatan anaknya merosot.
Wahai Amirul Mukminin!
Khalifah yang adil itu
umpama seorang wali yang menaungi anak-anak yatim dan bendahara yang dapat
memberi bantuan kewangan serta pertolongan kepada orang miskin. Juga sentiasa
bersiap siaga untuk membantu mereka pada bila-bila masa sahaja.
Wahai Amirul Mukminin!
Pemimpin yang adil itu
laksana hati dan jantung yang amat berharga bagi keberlansungan hidup seluruh
anggota. Tulang rusuk yang ada pada tubuh akan berfungsi jika hati atau jantung
bekerja dengan stabil dan normal.
Wahai Amirul Mukminin!
Seorang pemerintah
yang adil sudah pasti berperanan sebagai seorang perantaraan antara Allah
dengan seluruh hambaNya dalam menjalankan dan menegakkan ajaranNya. Penguasa
yang adil akan mendengar perkataan Allah dan memperdengarkan pula kepada
rakyat terbanyak. Dia juga akan selalu
bertafakur terhadap kebesaran Allah dan tidak lupa mengajak seluruh rakyatnya
untuk meyakini kewujudanNya. Di samping
itu, dia sewajibnya mematuhi serta mengikut seluruh ajaran Allah dan pada masa
yang sama mengajak rakyat agar turut patuh kepadaNya. Sebagai seorang yang
dipinjamkan amanah dan kekuasaan oleh Allah, janganlah bertindak seperti
seorang pelayan. Diamanahkan oleh tuannya untuk menjaga harta dan keluarganya,
lalu dikhianati amanah tersebut, dibelanjakan semahunya dan membiarkan keluarga
tuannya hidup terbiar dan terlantar.
Al-Musawah
Al-Musawah
bermaksud 'persamaan'. Prinsip ini merujuk kepada hakikat bahawa semua manusia
adalah sama di sisi Allah melainkan hanya tiga perkara iaitu takwa usaha dan
tanggungjawab. Dalam menguruskan pemerintahan, khalifah Umar tidak pernah
membezakan layanan semua manusia yang hadir padanya. Tidak kira mereka adalah
bangsawan ataupun hanya seorang pengawal. Malah Khalifah Umar juga tidak
membenarkan dia serta kaum kerabatnya dilayan lebih dari orang lain kerana dia
benar-benar memegang prinsip ini. Buktinya dia pernah berkata demikian:
Demi Allah! Aku sendiri menginginkan untuk
memperlakukan diriku adil dan sama dengan kaum kerabatku hingga kehidupanku dan
kehidupan kalian sama sahaja.
Prinsip
persamaan inilah yang menjadi tunjang keutuhan sesebuah masyarakat kerana ianya
mengajar manusia agar hormat-menghormati antara satu sama lain dan tidak pernah
membezakan layanan yang mereka beri sama ada berbeza warna kulit, bangsa, dan
agama.
Al-Hurriyah
Al-Hurriyah
ini secara ringkasnya bermaksud 'kebebasan'. Namun, 'kebebasan' yang dijadikan
prinsip ini perlulah diimbangi dengan rasa dan amalan bertanggungjawab kerana
di dalam Islam tiada yang dinamakan sebagai kebebasan mutlak. Dalam bab
kebebasan ini perlulah dihadamkan betul-betul agar manusia tidak
sewenang-wenangnya menggunakan slogan 'kebebasan' ini dengan tujuan
menyenangkan nafsu.
Konsep
al-Hurriyah ini melibatkan beberapa perkara seperti kebebasan berikir dan
berakidah, kebebasan berpolitik, kebebasan peribadi, kebebasan berniaga, dan
kebebasan mencari nafkah.
Kebebasan
berfikir dan berakidah ini hanyah merujuk kepada kebebasan yang diberikan
kepada kaum Yahudi serta Kristian pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul
Aziz. Ini kerana Khalifah Umar Abdul Aziz menepati Firman Allah dalam surah
al-Baqarah ayat 257 yang bermaksud:
"Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam);
sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu
barangsiapa yang ingkar kepada Thagut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnyaai
telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan
Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
Namun,
pada masa yang sama beliau menggiatkan lagi usaha dakwah secara berhemar agar
semua manusia dapat menikmati rahmat Allah yang luas.
Kebebasan
berfikir pula diterjemahkan melalui sikap Khalifah Umar Abdul Aziz yang terbuka
dengan kepelbagaian pemikiran. Oleh itu, Khalifah Umar mudah menerima dan
menghormati pandangan dan aduan malah kritikan yang diberikan kepada beliau.
Kita tahu bahawa setiap manusia boleh mengeluarkan beribu-ribu cara
penyelesaian kepada satu masalah sahaja. Sifat beliau dalam memerintah lebih
suka menerima pendapat dan pandangan pakar ilmuan dan alim ulama dalam
menyelesaikan masalah mengikut Islam.
Kebebasan
berpolitik pula merujuk kepada sikap beliau yang membenarkan rakyat melakukan
sesuatu asalkan tidak bercanggah dengan kepentingan Islam. Ianya dijelmakan di
dalam ucapannya:
"Sesungguhnya
tidak akan ada keselamatan bagi seseorang yang menyalahi sunnah dan tidak boleh
patuh dan tunduk terhadap sesiapa pun yang mengajak kepada kemaksiatan terhadap
Allah."
Selain
itu, kebebasan peribadi diberikan sepenuhnya kepada rakyat. Ianya berkaitan
dengan perkara asasi yang dimiliki oleh seluruh rakyat seperti membenarkan
rakyat untuk berhijrah ke seluruh negara dengan tujuan murni tanpa ada sekatan.
Khalifah
Umar Abdul Aziz juga mengamalkan kebebasan ekonomi iaitu dengan membenarkan
rakyat berniaga dan mencari nafkah serta meningkatkan usaha dalam memberi
kemudahan prasarana serta bantuan yang munasabah bagi membantu para peniaga
untuk meningkatkan lagi ekonomi diri mereka dan negara. Namun begitu, setiap
kegiatan ekonomi dipantau agar mengikut lunas-lunas agama serta bagi
mengelakkan sebarang penipuan berlaku.
Al-Itqan
Prinsip
al-Itqan bermaksud melakukan sesuatu amanah dengan bersungguh-sungguh serta
gigih. Dalam pemerintahan, visi dan misi yang jelas membawa manusia ke arah
matlamat yang sebenar. Khalifah Umar Abdul Aziz mmpunyai visi dan misi yang
jelas bagi melaksanakan amanah Allah dengan baik dan melakukan perubahan bagi
menegakkan keadilan dan syariat Islam.
Al-Taah
Prinsip
ketujuh atau yang terakhir ini membawa maksud bersikap akur terhadap arahan dan
peraturan. Ianya bukan hanya merujuk kepada ketaatan kepada pemimpin malah
lebih besar dari itu, kataatan kepada Allah dan segala yang diperintahkan
olehNya. Khalifah Umar Abdul Aziz melaksanakan prinsip ini bagi mengurangkan
penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dengan melaksanakan pentadbiran berpusat.
Kesimpulan
Kali ini saya tidak akan mengeluarkan kesimpulan saya sendiri agar anda semua mengeluarkan satu kesimpulan berkaitan dengan bedah buku ini. Tuuan saya agar pembaca tidak terikat dengan pemikiran penulis dan boleh berfikir hikmah di sebalik bedah buku ini. Sekian selamat membaca.
Wallahu'alam..
Kesimpulan
Kali ini saya tidak akan mengeluarkan kesimpulan saya sendiri agar anda semua mengeluarkan satu kesimpulan berkaitan dengan bedah buku ini. Tuuan saya agar pembaca tidak terikat dengan pemikiran penulis dan boleh berfikir hikmah di sebalik bedah buku ini. Sekian selamat membaca.
Wallahu'alam..
ada citation atau reference tak untuk artikel ni?
ReplyDeleteboleh refer dengan buku Judul: Menyelami Pengurusan Umar Abdul Aziz
ReplyDeleteKarya: Prof. Madya Rasid Muhamad.
saya bedah dari buku ini.